Pengucapan awam mampu beri kesedaran!

Jujur aku beritahu, aku memang tidak hebat dalam memberi ucapan, malah mudah saja aku gugup dan takut bila diri ini berada di hadapan khalayak ramai yang menunggu hujah berdasarkan fakta daripada aku tapi itu bukan bermaksud aku tak mampu bercakap di depan mereka semua. Namun, aku setuju bahawa pengucapan awam mampu menyedarkan orang ramai dengan masalah-masalah yang berlaku sekarang.

Setiap jalan buntu ada penyelesaiannya

Bukan semua orang kita tahu dan faham apa yang dah terjadi dalam negeri mahupun negara. Ada di antara kita terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga tawar hati untuk ambil tahu perkembangan terkini.

Berapa ramai yang tidak tahu dengan pemanasan global akibat pembakaran terbuka dan sebagainya? Berapa ramai yang kisah tentang masalah remaja yang kian meruncing akibat pencemaran budaya yang datang daripada barat? Berapa ramai? Aku tidak nafikan memang ada antara kita yang sudah ramai peka dengan masalah-masalah yang berlaku tapi adakah kita mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan atau membaik pulih keadaan?

Aku jawab “Kalau bab duit, semuanya laju, betul?”

Salah satu cara untuk sedarkan mereka semua adalah dengan usaha memberi pengucapan awam yang bernas. Satu pengucapan awam mampu memberi impak yang ketara sehingga menyedarkan orang ramai akan masalah-masalah di sekeliling kita. Soalnya, bagaimana?

Bukan hanya berkata kosong

Pengucapan awam yang berhemah dan berdasarkan fakta adalah salah satu cara untuk bagi kesedaran yang mendalam kepada masyarakat setempat. Buat kajian dengan teliti sebelum dibentangkan. Berikan mereka fakta, kesan positif dan negatif, apa yang bakal berlaku dan lain-lain lagi jika masalah tersebut tidak dibendung dengan segera. Tunjukkan langkah-langkah yang sepatut diambil dan terangkan kepada mereka satu persatu. Mereka akan faham dan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat dalam genggaman, insyaAllah.

Pengucapan awam yang gempak

Hal ini memang memerlukan latihan dan semangat yang tinggi untuk dapat memberikan ucapan yang mampu menarik perhatian orang ramai sehingga mereka fokus dan faham apa yang cuba disampaikan. Ianya susah tapi tidak mustahil. Percaya diri sendiri, anda mampu lakukannya.

Pengucapan awam yang gempak mampu dihasilkan dengan mengambil satu langkah ke hadapan berbanding pengucapan biasa. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

  • Santai – Jangan terlalu ikut apa yang ada dalam teks atau skrip ucapan. Secara tidak langsung, anda akan terikat dengan teks tersebut dan perkara yang paling tidak diingini berlaku adalah lupa apa yang ingin disampaikan. Memberi ucapan secara santai sememangnya bagus dan mampu menarik perhatian pendengar untuk terus fokus mengambil isi-isi dalam ucapan.
  • Tidak terlalu formal – Contoh paling senang adalah pengajar. Guru, sebagai contoh, mengajar pelajar-pelajar dalam kelas menggunakan 100% apa yang ada dalam buku teks dan begitu ketat mengikuti apa yang dicadangkan dalam buku itu. Benda yang formal mudah menghilangkan perhatian pendengar, tambahan pula mereka adalah orang awam.
  • Komunikasi – Sambil berucap, sambil bercerita, sambil berkomunikasi dengan pendengar supaya mereka dapat tahu dengan lebih jelas. Tanya soalan, beri jawapan dan berjenaka adalah antara cara untuk berkomunikasi dengan pendegar.

Walaupun anda berucap dengan mudah, seronok, tidak terlalu formal, jangan abaikan tujuan dan objektif dalam tajuk disentuh melalui pengucapan awam.

Kesedaran orang ramai meningkatkan budi pekerti dalam diri

Pengucapan awam yang berjaya mampu menyedarkan orang ramai dengan masalah-masalah yang dihadapi dan juga mendidik secara perlahan dalam diri mereka akan kesedaran dan prihatin terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Oleh itu, mereka yang sudah tahu akan kesan-kesan negatif bakal berlaku, secara tidak langsung tergerak dalam hati mereka untuk menyampaikan kepada orang yang tersayang.

Bermula dengan kecil dan perlahan, sifat bertanggungjawab dan ingin membendung akan mula bercambah dalam diri masing-masing.  Seterusnya, satu komuniti yang hormoni akan tercipta untuk membantu persatuan atau kerajaan membendung masalah yang berlaku.

Ringkasnya

Pengucapan awam yang memberangsangkan, yang mempunyai isian yang sangat releven, dapat memberi kesedaran atau pendirian seseorang untuk menangani suatu masalah yang berlaku. Setiap orang mampu memberi ucapan kepada awam tapi ia mengambil latihan untuk mengorak langkah lebih jauh supaya lebih ramai yang mengetahui apa yang dikupaskan dalam suatu isu.

Pokoknya, pengucapan awam bukan boleh diambil remeh temeh, pandang serong.

Wallahu’alam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *